Juara program Raja Lawak musim kedua itu berkata dia tidak pernah minum arak apatah lagi berkeadaan mabuk di depan khalayak.
"Saya tak tahu macam mana boleh timbul gosip ini. Rasanya saya tak berkelakuan tidak senonoh di depan umum. Kalau benarlah saya berbuat demikian, saya akan berterus terang dan mengaku. Tapi saya tidak buat.
"Tambah pula saya tidak pernah mabuk. Saya tak tahu kenapa orang sekarang suka mengaitkan perkara-perkara yang tidak elok tentang saya.
"Bagaimanapun saya harus akur bahawa menjadi seorang artis, orang ingin tahu segala kerja dan peribadi kita. Dan bila orang nampak apa kita buat, mereka akan bercerita.
"Saya ingin jelaskan bahawa apa yang saya lakukan dalam kehidupan seharian adalah sama seperti orang lain. Saya tak boleh nak menipu diri sendiri dengan mengurung diri di rumah tanpa bergaul," katanya yang ditemui pada majlis sambutan Anugerah Bintang Popular bersama calon-calon bagi kategori Artis Komedi Lelaki dan Wanita Popular di Hotel Le Meridien, di sini, Selasa.
Baru-baru ini, Nabil dikatakan hadir ke sebuah pub hotel bersama tiga rakannya. Difahamkan Nabil berkeadaan mabuk dan berkelakuan tidak senonoh di mana dia sedang bercumbu dengan salah seorang rakannya itu di belakang tandas pub tersebut.
Selain itu, Nabil juga dikatakan berjaya membolosi diri daripada kepungan polis ketika mengunjungi sebuah pusat hiburan di Jalan Doraisamy, Kuala Lumpur pada 29 Januari lalu.
Bagaimanapun, Nabil turut menafikannya dan berkata pada hari tersebut dia sedang berada di rumah dengan membetulkan kerusi sofa yang baru dibelinya.
Tambah Nabil, dia sudah lali dengan kontroversi yang dilalui sebelum ini, sehingga dia pernah duduk di rumah tanpa keluar selama dua bulan jika tidak bekerja.
Bagaimanapun, anak kelahiran Negeri Sembilan itu sudah berazam untuk berubah tanpa kontroversi seperti yang dilaluinya tahun lalu.
"Saya ingin menjadi seorang yang lebih baik pada tahun ini dan diakui saya berkelakuan nakal pada tahun lalu.
"Alhamdulillah, dengan kontroversi yang ada, karier saya tidak diganggu sangat. Cuma saya tak mahu lupa dengan kesalahan yang saya buat sebelum ini kerana ia memberi keinsafan buat diri saya," ujarnya.
Sumber: Mstar Online
Sent by DiGi from my BlackBerry® Smartphone
No comments:
Post a Comment