Datuk Seri Najib Razak semalam meminta PAS keluar daripada pakatan pembangkang yang jelas tidak memperjuangkan agenda bangsa, agama dan negara.
Perdana Menteri berkata sudah tiba masanya PAS meninggalkan pakatan pembangkang khususnya DAP yang ternyata tidak pernah sekalipun memperjuangkan Islam.
Presiden UMNO itu juga berkata, rakyat sekarang sudah bijak menilai kepemimpinan yang dapat menjamin masa depan negara dan ia hanya dapat dilakukan menerusi kerajaan BN dan UMNO.
"UMNO lahir di istana dan bukannya di jalanan seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR). Sebab itulah (PKR) sikit-sikit hendak berdemonstrasi. Takkanlah kita nak harapkan orang yang jam tangan pun hilang,” katanya sinis berhubung kontroversi membabitkan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Semasa di Sarawak (pilihan raya negeri) baru-baru ini, penduduk rumah panjang pun bertanyakan jam Omega (milik Anwar).
“Semalam (kelmarin) kenapa nak halang orang nak bersumpah?,” kata Najib merujuk kepada suasana kecoh ketika Datuk Shazryl Eskay Abdullah melafazkan sumpah laknat di Masjid Amru Ibni Al-As, Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur, kelmarin.
Kemudian, ketika berucap pada majlis perasmian Pangsapuri Rakyat Pulau Duyong, Najib berkata PAS tidak pernah untung apa-apa pun dalam pakatan pembangkang, malah mereka hanyalah menjadi alat kepada parti DAP.
Perdana Menteri berkata pada pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini misalnya, PAS bekerja keras, sebaliknya DAP yang dilihat meraih kejayaan daripada usaha keras mereka itu.
“Kita lihat poster di sini (Terengganu) ‘PAS ganti UMNO’, realitinya ‘DAP ganti PAS’, di Sarawak (pilihan raya negeri 16 April lalu), PAS berkempen berhempas pulas, akhirnya, yang untung, DAP.
"PAS, cukuplah dalam pakatan pembangkang, alihlah kepada yang lain, tak masuk BN (Barisan Nasional) pun tak apa, tetapi keluarlah dari pakatan pembangkang," katanya
Dalam sidang media kemudian, Najib menjelaskan dalam realiti politik, kehadiran PAS dalam pakatan pembangkang tidak membawa sebarang makna untuk parti berkenaan dan sukar untuk mendapat kata sepakat dalam banyak isu dengan rakan parti lain terutama DAP.
"Sama ada dia (PAS) nak gabung dengan kita (BN) itu soal lain tetapi saya nak tekankan ialah dia tidak mendapat manfaat malah secara tidak langsung menguntungkan DAP," katanya.
Katanya, jika PAS serius mahu memperjuangkan Islam maka parti itu tidak boleh bekerjasama dengan DAP kerana itu adalah realiti politik, mereka mempunyai ideologi berbeza.
No comments:
Post a Comment