Menurut Perdana Menteri, pelancaran perkhidmatan berpusat yang beroperasi 24 jam sehari sepanjang tahun itu juga merupakan satu pencapaian di luar jangkaan dan mungkin tidak terfikir, tetapi hari ini menjadi kenyataan.
Katanya, menerusi 1MOCC, semua operator kementerian, agensi kerajaan dipusatkan dengan satu nombor telefon sahaja iaitu 03-80008000 untuk membolehkan rakyat mengemukakan pertanyaan, aduan atau cadangan.
"Pusat ini beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu dan 365 hari setahun, termasuklah pada hari cuti umum," katanya ketika berucap melancarkan 1MOCC di sini.
1MOCC diterajui Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan (MAMPU) dengan penyertaan Kementerian Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Awam, Perbadanan Putrajaya dan TM selaku rakan strategik.
Lima saluran komunikasi iaitu telefon, khidmat pesanan ringkas, faks, e-mel dan media sosial menjadi platform untuk rakyat menyalurkan apa sahaja kemusykilan atau cadangan.
Pengguna boleh memilih untuk menggunakan faks di talian 03 8000 8001, melayari laman web di www.malaysia.gov.my, e-mel 80008000@1mocc.gov.my dan laman-laman sosial iaitu facebook.com/myGovernment dan twitter.com/myGovPortal.
Fasa perintis 1MOCC melibatkan 21 agensi kerajaan merangkumi Jabatan Perdana Menteri dan agensi di bawahnya, Jabatan Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Pendaftaran Negara.
Berikutan pelancaran 1MOCC, Perdana Menteri mahu inisiatif tersebut disokong dan didokong sepenuhnya oleh semua kementerian serta agensi kerajaan atas semangat satu entiti.
"Ini bukan kerja MAMPU, ini bukan kerja Jabatan Perdana Menteri, ini bukan kerja Ketua Setiausaha Negara tetapi ia adalah tanggungjawab bersama.
"Oleh itu, marilah kita bersama-sama atas semangat untuk menggalas amanat rakyat dengan tujuan bahawa inilah yang dikatakan rakyat didahulukan," katanya.
Bagi memastikan rakyat terus memandang tinggi sektor awam, Perdana Menteri berkata, para penjawat awam perlu berusaha menyediakan perkhidmatan yang dapat memenuhi jangkaan dan persepsi mereka secara keseluruhannya.
Katanya, untuk itu kakitangan awam mesti menggunakan keupayaan berfikir secara inovatif dan kreatif dalam mencetuskan idea yang lebih unggul dan hebat supaya perubahan yang dilaksanakan benar-benar mengubah persepsi rakyat.
"Setakat ini, kita telah mencapai kejayaan apabila berjaya menempatkan diri di kedudukan ke-12 dalam kalangan 185 negara ekonomi dunia dalam penarafan pelaksanaan perniagaan oleh Bank Dunia pada Oktober lalu.
"Lonjakan yang begitu meyakinkan ini meletakkan kedudukan Malaysia mengatasi negara-negara maju seperti Sweden, Taiwan, Jerman, Jepun dan Switzerland,'' katanya.
Lebih daripada itu, menurut Najib, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita kini telah mencecah AS$9,700 (RM30,290) setahun sekali gus meletakkan Malaysia di selekoh akhir mencapai status negara maju berpendapatan tinggi.
Pada majlis itu juga, Perdana Menteri mengambil kesempatan mencuba sendiri perkhidmatan terbaru itu serta memuji keramahan pegawai khidmat pelanggan 1MOCC.
Beliau yang mengajukan masalah kehilangan MyKad kemudian diberitahu mengenai langkah-langkah yang perlu diambil untuk menggantikan dokumen tersebut.
Najib bagaimanapun mengakhiri perbualan bersama pegawai khidmat pelanggan 1MOCC dengan memberi bayangan bahawa Pilihan Raya Umum Ke-13 akan dijalankan tidak lama lagi.
"MyKad saya sebenarnya tidak hilang dan saya perlu menggunakannya untuk mengundi tidak lama lagi," katanya.
Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone
No comments:
Post a Comment