Perasaan cemburu yang meluap-luap oleh seorang lelaki sampai ke kemuncaknya apabila dia menetak kepala seorang wanita dipercayai isterinya dengan kapak hingga mati selepas hilang pertimbangan ketika bertengkar di rumah sewa mereka di Jalan Bunga Tanjung 4, Kampung Baru Hicom, Seksyen 26 di sini kelmarin.
Kejadian pukul 9.15 malam itu mengakibatkan seorang suri rumah, Novi Aryani, 34, dari Jawa, Indonesia mati selepas ditetak sebanyak dua kali di belakang kepala selain dicekik.
Mayatnya ditemui dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah di atas lantai biliknya oleh seorang rakan penyewa rumah sama. Rumah setingkat yang memiliki lima bilik itu turut didiami oleh tujuh individu lain.
Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Mazlan Othman berkata, pemeriksaan menemui sebilah kapak di sisi mayat yang dipercayai digunakan dalam pembunuhan itu.
Katanya, siasatan mendapati, sebelum kejadian, pasangan itu dikatakan telah bertengkar. Lelaki itu telah melarikan diri dengan menunggang sebuah motosikal jenis Modenas Kriss.
"Kita percaya motif kejadian akibat cemburu buta namun masih menyiasat punca sebenar. Lelaki itu dipercayai suami mangsa," katanya ketika dihubungi.
Tambahnya, pasangan itu tidak mempunyai permit namun mereka sudah menyertai Program Penyelesaian Menyeluruh Pendatang Asing Tanpa Izin atau Program 6P.
Sementara itu, rakan serumah mangsa, Ahmad Noer Lukman, 33, mendakwa, dia melihat suami mangsa bergelar Mat itu membawa beg dan menyangkut sehelai baju di bahu sebelum memecut laju dengan motosikal.
Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone
No comments:
Post a Comment