"Nasib baik saya terdengar kanak-kanak itu menangis kerana ketakutan lalu mencari mereka dalam keadaan merangkak di bawah timbunan kayu.
"Mujur ada satu tiang menghalang batu itu daripada terus menghempap mereka," kata Edy Lasuasa, 57, yang cedera di kepala selepas rumahnya musnah dihempap tiga bongkah batu gergasi yang bergolek dari atas bukit di Kampung Bukit Kukusan, Tanjung Batu, di sini, semalam.
Kanak-kanak yang terselamat dikenali sebagai Mohd Hafiz Azizul, 9; Mohd Ajili Arwansyah, 6; Mohd Said Abdul Said, 5; dan adiknya, Norafdilah Abdul Said, 3.
Menceritakan kejadian jam 11.30 pagi yang menghempap 11 rumah itu, Edy berkata, dia terdengar satu dentuman disusuli gegaran kuat sebelum bunyi kayu pecah.
Menurutnya, ketika itu dia berehat di anjung rumah bersama empat kanak-kanak yang juga jirannya sebelum terdengar satu letupan dari kuari berhampiran.
EDY bersama Mohd Hafiz yang terperangkap di bawah runtuhan rumah mereka.
Dia yang bekerja sebagai nelayan berkata, letupan dilakukan di kuari berhampiran adalah perkara biasa tetapi tidak menyangka rumahnya dihempap bongkah batu akibat letupan itu.
"Rumah saya musnah dan ketika kejadian berlaku (rumah ranap) saya terus pengsan.
"Sebaik tersedar, saya terperangkap di bawah runtuhan, saya turut mendapat luka di belakang kepala akibat dihempap tiang rumah yang patah," katanya.
Seorang lagi mangsa, Hula Igu, 58, berkata, dia bernasib baik kerana tiada di rumah ketika kejadian.
"Pada masa itu, saya di pasar kerana menjual ikan. Saya menerima panggilan telefon daripada jiran mengatakan rumah saya runtuh dihempap bongkah batu besar yang jatuh dari atas bukit," katanya.
Katanya, terkejut dengan perkara itu, dia bergegas pulang ke rumah.
"Saya bimbang mengenai keselamatan tiga cucu, termasuk dua daripadanya kembar yang baru berusia sebulan, selain anak serta menantu di rumah.
"Saya bersyukur kerana walaupun rumah musnah, semua ahli keluarga terselamat," katanya.
Menurutnya, menantunya, Nisa Yusuf, 30, bersama bayi kembarnya, Noraisah dan Noranisah Fazlan berusia satu bulan dihantar orang ramai ke Hospital Besar Tawau untuk rawatan lanjut manakala seorang lagi cucunya, Mohd Khairul, 2, terselamat.
Tinjauan di lokasi kejadian mendapati, satu bongkah batu sebesar rumah banglo manakala dua lagi sebesar kenderaan pacuan empat roda.
Ketiga-tiga bongkah dipercayai bergolek dari atas bukit selepas letupan dilakukan pekerja kuari di kawasan berhampiran.
Perjuanganku Lebih Mudah Kerana Mengusir Penjajah, Tetapi Perjuanganmu Lebih Sulit Kerana Melawan Bangsamu Sendiri
No comments:
Post a Comment