Saturday, May 28, 2011

Ulama Pas digesa 'siasat' Anwar cari kebenaran




Golongan ulama Pas digesa melakukan siasatan sendiri berhubung beberapa skandal didakwa melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim agar parti itu boleh menyatakan pendirian sebenar terhadap kepimpinan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Nakhaie Ahmad berkata, sekiranya Pas tidak memperakui siasatan polis, pendakwaan di mahkamah serta sumpah laknat oleh Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Mohd. Saiful Bukhari Azlan, parti itu terutama golongan ulama perlu melakukan siasatan untuk mencari kebenaran.

Menurutnya, siasatan itu perlu dilakukan demi keadilan kepada golongan ulama, profesional dan penyokong Pas yang mendokong cara kepimpinan menurut lunas Islam.

"Jika benar Anwar terlibat dalam skandal-skandal yang didakwa ke atasnya termasuk yang terbaru video (seks), Pas perlu menyatakan pendirian rasmi mereka terhadap kerjasama parti itu dengan PKR dan DAP yang diterajui Anwar.

"Sekiranya Pas tidak memperakui siasatan polis, kes mahkamah serta sumpah laknat oleh Shazryl Eskay dan Mohd. Saiful Bukhari, maka parti itu terutama golongan ulama perlu lakukan siasatan sendiri ke atas Anwar," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin yang mendakwa Anwar kini takut dengan penerimaan golongan ulama dalam Pas terhadapnya, selepas pelbagai salah laku beliau didedahkan kebelakangan ini.

Zulkifli seterusnya mendakwa, Anwar kini mengarahkan pemimpin serta ahli Pas yang cenderung menyokong beliau untuk merancang gerakan menghakis penguasaan golongan ulama dalam parti itu, ekoran pemilihan Pas yang akan berlangsung minggu depan.

Nakhaie berkata, golongan ulama dalam Pas mempunyai peranan penting untuk mencari kebenaran mengenai perilaku Ketua Pembangkang itu bagi menyampaikan mesej yang selari dengan tuntutan Islam.

Jelas beliau, salah satu tuntutan dalam ajaran Islam adalah memastikan seseorang pemimpin itu dilihat bersih dan terpelihara daripada sebarang tohmahan.

"Seseorang pemimpin bukan sahaja perlu bersih tetapi terpelihara daripada tohmahan dan dalam kes ini, Pas perlu menyiasat sendiri, bukannya menolak ataupun menerima tohmahan itu secara membuta tuli demi menjaga kredibiliti Anwar," tegasnya.

0 comments:

Post a Comment

SEKALUNG TAHNIAH SAHABAT YANG BERJUANG BERSAMA TC