Friday, March 11, 2011

'Anwar masuk lokap semalaman'....



KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi semalam diberitahu, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditahan di bilik Lokap Bahagian Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Kuala Lumpur semalaman kerana polis masih belum selesai mengambil rakaman percakapannya.
Saksi ke-25 pendakwaan, Pegawai Penyiasat, Superintendan Judy Blacious Pereira berkata, Anwar selesai menjalani pemeriksaan perubatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira jam 10.25 malam pada 16 Julai 2008 dan dibawa kembali ke IPK sejurus selepas itu.

Pereira berkata, beliau tidak dapat menyiapkan proses mengambil rakaman percakapan mengikut Seksyen 112 Kanun Acara Jenayah (KAJ) pada malam itu juga kerana mendapat arahan untuk tidak mengambil rakaman percakapan pada waktu malam.

“Selepas membawa Anwar balik ke IPK daripada HKL, siasatan belum selesai jadi saya tahan beliau kerana perlu bertanya soalan lagi disebabkan kami tidak boleh mengambil rakaman percakapan selepas jam 6 petang, ” katanya menjawab soalan Peguam Cara Negara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden dalam pemeriksaan utama.

Pereira berkata, Anwar dibebaskan pada jam 9.30 pagi keesokannya selepas beliau selesai mengambil rakaman percakapannya berhubung pemeriksaan perubatan yang dijalani di HKL.

Ketika ditanya Mohamed Yusof sama ada Anwar memberikan contoh darahnya ketika menjalani pemeriksaan perubatan di HKL, Pereira menjawab, “Tidak, dia beri alasan perkara sama akan berlaku seperti berlaku pada tahun 1998. Saya tidak tahu apa berlaku pada 1998.”
Pereira berkata Anwar menolak untuk diambil contoh darah selepas berbincang dengan peguamnya, R Sivarasa dan berbual dengan seseorang melalui panggilan telefon, tetapi tidak mengetahui siapa dan butir perbualan itu.

Katanya, selain barang bukti diambil daripada lokap dan kondominium, beliau juga merampas bahan pelincir jenama ‘Johnson & Johnson’ yang dibawa Mohd Saiful ke Balai Polis Brickfields pada 29 Jun 2008 dan seluar dalam biru hitam miliknya diambil daripada mesin basuh di rumah teman wanitanya.

Beliau juga mengambil sehelai seluar hitam, sehelai seluar jenama Levi’s dan sehelai kemeja tangan panjang berwarna hijau daripada rumah Mohd Saiful di Bandar Utama.

Selain itu, katanya, beliau mengenal pasti imej Anwar dan bekas pembantunya Mohd Saiful dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan mereka secara berasingan memasuki dan keluar lif Kondominium Seri Damansara di Bukit Damansara pada 26 Jun 2008, iaitu lokasi dan hari kejadian liwat itu didakwa berlaku.

Katanya, beliau turut mengenal pasti pemilik Unit 11-5-1 dan 11-5-2 kondominium, Hasanudin Abdul Hamid dan empat lagi selepas menonton rakaman CCTV itu pada 5 Julai 2008 antara jam 12 tengah hari dan 6 petang. Kedua-duanya dicam saksi semalam.

Perbicaraan bersambung hari ini.


0 comments:

Post a Comment

SEKALUNG TAHNIAH SAHABAT YANG BERJUANG BERSAMA TC