Kini, Ustaz Omar sudah sedar bahawa pemimpin Pas yang berjanggut, berserban dan berjubah Cuma bertujuan untuk mengabui mata orang Islam sahaja. Mereka tidak ikhlas melakukan segala bentuk sunnah Rasulullah itu.
"Lebih baik saya tidak berjanggut daripada menyimpan janggut tapi tidak ikhlas. ALLAH akan laknat kita ke dalam api neraka," tegasnya disambut tepukan gemuruh para hadirin di Kampung Jakang (dalam DUN Kadok) yang merupakan kubu kuat Pas sejak merdeka lagi.
Mendengar ceramah yang disampaikannya, cukup menarik. Beliau seorang yang bersahaja, tetapi isi ceramahnya penuh dengan fakta. Pokoknya, Pas yang menjadikan dirinya hebat di mata perjuangan parti, tetapi berdosa kepada ALLAH kerana berbohong besar.
Menurutnya, pembohongan ini dibuat semata-mata untuk menarik rakyat menyokong Pas. Pelbagai fatwa dikeluarkan kerana diajar oleh tok gurunya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
"Saya merupakan anak murid yang paling disayangi oleh Nik Aziz (Datuk). Saya berada di bawah 'ketiaknya' ke mana saja pergi dan sanggup melakukan apa saja demi perjuangan Pas," demikian katanya.
Sebagai bukti 'anak emas' Datuk Nik Aziz, Ustaz Omar pernah diberi tugas menggantikan Mursyidul Am Pas sebagai tenaga pengajar di Kelab (Pejabat) Pas Kota Bharu pada hariJumaat.
Setelah bergiat selama 35 tahun dalam Pas, segala-galanya berubah bila Pas berjaya menawan Kelantan pada tahun 1990. Perjuangan yang dikecapi melalui Pas sejak tahun 1956 bertukar menjadi medan permusuhan yang amat besar kerana semata-mata ALLAH telah membuka hidayah kepadanya.
Fakta yang jelas, katanya: "PAS TERLALU BANYAK MEMBOHONGI RAKYAT." Paling besar pembohongan Pas ialah ingin mewujudkan perundangan Islam di Kelantan sebaik sahaja mendapat kuasa pada pilihanraya tahun 1990.
Kisahnya bermula begini:
"Pada kempen pilihanraya tahun 1990, kita (Pas) berjanji akan menukarkan perlembagaan Kelantan kepada Islam jika berkuasa. Nik Aziz yang memberi jaminan ini dan diikuti oleh pemimpin Pas yang lain.
Tahun demi tahun, Ustaz Omar Khalid melihat pemerintahan Pas tidak ke mana. Keadaannya tetap serupa dengan pemerintahan UMNO/BN. Hinggalah tahun 1993, beliau bertemu dengan Datuk Nik Aziz di rumahnya bertanyakan tentang perundangan Islam yang bakal dilaksanakan di Kelantan.
Lagipun, pada waktu itu, pemimpin Pas telah mula menggomol balak. Kebendaan telah menjadi perhatian utama pemimpin Pas terutamanya wakil rakyat. Ini juga menjadi tajuk perbualannya dengan Datuk Nik Aziz.
Bagaimanapun, Datuk Nik Aziz memberikan jawapan yang cukup mengecewakannya. Menteri Besar Kelantan mengibaratkan Pas cuma ada kaki saja, tetapi badannya tidak ada. Maksudnya, Kelantan saja diperintah oleh Pas tapi Pusat oleh BN.
Satu lagi alasan Datuk Nik Aziz ialah politik sama seperti sebuah peperangan yang penuh dengan tipu muslihat. Jadi, Pas terpaksa menipu untuk memenangi 'peperangan' dalam pilihanraya.
penuh dengan tipu dusta..
ReplyDelete