Friday, February 4, 2011

BENAR.. SEJAK 1977 RUPANYA PAS MEMECAHKAN PERPADUAN MELAYU DEMI KUASA..


Umno ditipu Pas 1977

Ucapan Perdana Menteri, Tun Hussein Onn pada 9

Disember 1977 sempena Perjumpaan Ketua-ketua UMNO Bahagian di Dewan
Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

TERLEBIH dahulu saya dengan sukacitanya mengucapkan berbanyak-banyak

terima kasih dan setinggi-tingginya penghargaan kepada tuan-tuan dan
puan-puan sekalian yang telah bersusah payah datang dari jauh dan dekat
dan secara tergesa-gesa menghadiri perjumpaan ini. Perjumpaan ini amat
penting bagi menentukan nasib orang Melayu khasnya dan seluruh rakyat
Malaysia amnya.

Perjumpaan kita hari ini diselubungi oleh suasana sedih dan pilu. Sedih

kerana kehilangan seorang menteri yang telah banyak berjasa kepada UMNO
dan negara. Kemalangan kapal terbang MAS di Tanjung Kupang, Johor yang
telah mengorbankan 100 nyawa, sungguh mengejut dan mengharukan kita
semua. Oleh itu sempena dengan perjumpaan kita yang bersejarah ini,
marilah kita beramai-ramai mendoakan semoga Allah s.w.t mencucuri
rahmatnya ke atas roh Allahyarham Dato’ Seri Ali bin Haji Ahmad serta
lain-lain roh orang yang telah terkorban dalam kemalangan itu.

Sebelum saya menyebut perkara penting dalam perjumpaan ini, marilah kita
menoleh sejenak ke belakang mengkaji semula dengan secara ringkas
perkembangan yang telah berlaku sehinggalah keperjumpaan yang diadakan
pada petang ini.

Saya tidaklah berhajat hendak menerangkan kemajuan dan kejayaan UMNO

yang telah lalu atau kejayaan-kejayaan yang telah dicapai oleh Perikatan
sejak ia ditubuhkan. Kesemuanya ini ada dalam pengetahuan tiap-tiap
ahli UMNO. Demikianlah juga dengan hasrat dan tujuan menubuhkan Barisan
Nasional yang telah menyatupadukan sehingga ke hari ini sebelas buah
parti politik yang yang sebilangannya telah menentang UMNO pada masa
sebelumnya.

Sesungguhnya UMNO telah membuat membuat banyak pengorbanan politik bagi

memenuhi hasrat dan matlamat Barisan Nasional. Walaupun perjalanan kita
masih jauh dan penuh dengan liku-liku tetapi Barisan Nasional telah
dapat menumpukan sepenuh tenaga memupuk dan menyuburkan semangat
kerjasama dan persefahaman dalam melaksanakan rancangan pembangunan,
membawa kemakmuran dan kebahagiaan kepada rakyat berbilang kaum.

Barisan Nasional berazam akan terus dengan penuh keberanian dan dengan

usaha yang lebih bersungguh-sungguh mewujud dan mengeratkan perpaduan.
Dengan sokongan rakyat saya percaya Barisan Nasional akan mencapai
kejayaan.

Barisan Nasional merupakan satu federasi yang longgar kerana tiap-tiap

parti yang bergabung ingin mengekalkan identiti partinya masing-masing.
Tetapi parti-parti komponen adalah terikat dengan semangat ingin
bekerjasama, saling mengerti sesama sendiri dan yang paling penting
sekali ialah mematuhi disiplin parti.

Semangat kerjasama dan persefahaman adalah penting bagi menyelesaikan

masalah negara. Ia lebih berharga dengan membuktikan dalam amalan
daripada semata-mata mengadakan perakuan-perakuan sahaja tetapi tidak
dipraktikkan.

Inilah caranya Barisan Nasional bergerak selama ini dari semenjak ia

ditubuhkan. Hasil kejayaan penubuhan Barisan Nasional telah dapat
dilihat dengan nyata apabila parti ini mencapai kemenangan yang paling
gemilang dalam pilihan raya tahun 1974. UMNO yang paling mempelopori
gabungan ini serta memastikan ia dapat terus wujud kukuh dan teguh
supaya pembangunan negara dapat diselenggarakan dengan lebih licin,
sempurna dan jayanya.

Parti-parti politik yang bercorak gabungan seperti Barisan Nasional ini

sudah pasti sekali-sekala menghadapi masalah. Pertentangan pendapat dan
perbezaan cara mendekati dan menyelesaikan sesuatu masalah merupakan
satu perkara biasa yang memang diramalkan dari mula-mula lagi.

Peristiwa perpecahan parti komponen Barisan Nasional di Sabah merupakan

kejadian pertama yang telah berlaku. Walaupun perkara ini belum dapat
diselesaikan dengan sepenuhnya tetapi Insya Allah penyelesaian terakhir
akan dapat dibuat dengan secara beransur-ansur. Pergolakan yang sedang
kita hadapi di Kelantan sekarang merupakan peristiwa kedua. Perkara ini
besar, yang berkehendakkan pengkajian dan pertimbangan yang serius
kerana ia melibatkan soal pokok.

Sebagaimana kita maklum, Dato’ Haji Mohamad Nasir telah dipilih menjadi

Menteri Besar hasil daripada persefahaman dan semangat tolak ansur di
antara Allahyarham Tun Razak sebagai Perdana Menteri dan Ketua Barisan
Nasional di masa itu dengan pucuk pimpinan PAS yang mempunyai suara
majoriti dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan. Semangat tolak ansur
seperti ini patut sentiasa wujud, digalak dan dikekalkan. Ia merupakan
faktor utama bagi mengekal dan menjamin perpaduan dalam Barisan
Nasional.

UMNO tidak berhajat dan tidak mahu mencampuri langkah-langkah pimpinan

PAS melucutkan jawatan Dato’ Haji Mohamad Nasir sebagai Menteri Besar
Kelantan semata-mata kerana menghormati kehendak-kehendak pucuk pimpinan
PAS mendakwa perkara itu merupakan soal rumah tangga PAS. UMNO
menganggap perkara itu sebagai masalah Barisan Nasional. Langkah itu
juga telah diambil oleh pucuk pimpinan dengan tidak ada sedikit pun
perundingan dengan pucuk pimpinan Barisan Nasional terlebih dahulu.

UMNO tidak dapat menyokong langkah yang diambil oleh pucuk pimpinan PAS

dalam sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 15 Oktober itu bukan
kerana UMNO tidak dibawa berunding, tetapi kerana UMNO tidak tahu sebab
atau diberitahu sebab-sebab mengapa Menteri Besar Dato’ Haji Mohamad
Nasir dilucutkan daripada jawatannya. Oleh itu sikap berkecuali yang
telah diambil oleh UMNO itu adalah satu tindakan yang munasabah.
Tambahan pula UMNO masih lagi berharap hendak mengekalkan perpaduan
dengan PAS.

Malangnya peristiwa melucutkan jawatan Menteri Besar itu dengan tidak

disangka-sangka telah mencetuskan kejadian yang buruk. Peristiwa yang
telah mengakibatkan kecederaan sebilangan orang yang tidak berdosa,
kemusnahan harta benda dan boleh mengancam nyawa dan keselamatan rakyat
telah juga mengancam keselamatan negeri Kelantan. Jika keadaan ini tidak
dikawal segera ia akan melibatkan keselamatan negara seluruhnya.

Sebagai Perdana Menteri saya bertanggungjawab di atas keselamatan negara

dan kebajikan rakyat, saya terpaksa mengambil langkah yang tegas.
Keadaan darurat telah diisytiharkan bagi negeri Kelantan. Satu
undang-undang dirangka yang meletakkan kerajaan negeri Kelantan di bawah
pentadbiran kerajaan Persekutuan. Langkah-langkah ini diambil pada masa
menteri-menteri dari Parti PAS masih lagi bersama-sama kita dalam
jemaah Menteri. Rang Undang-Undang ini kemudiannya telah diluluskan oleh
Parlimen.

Kerajaan Darurat terpaksa ditubuhkan di Kelantan dengan tidak mengira

siapakah yang menjadi parti pemerintahnya. Sama ada ia dari parti lawan
ataupun parti kawan tidaklah penting kerana yang pentingnya ialah
keselamatan dan kebajikan rakyat Kelantan sendiri. Saya memanglah
sentiasa meletakkan kepentingan keselamatan di atas segala-galanya.

Memang benar demokrasi telah mati di Kelantan. Tetapi rakyat Kelantan

telah dapat terus hidup dengan penuh keyakinan di atas keselamatan dan
masa depan mereka. Demokrasi di Kelantan tetap akan dipulihkan
sebaik-baik sahaja keadaan mengizinkan.

Bukti nyata kita semua telah dapat nikmati sekarang dimana pemerintahan

NOC atau Mageran tahun 1969 telah dimansuhkan dan kita telah kembali
kepada pemerintahan demokrasi. Tempoh dan lama masa berjalannya kerajaan
darurat di Kelantan itu hanya dikehendaki sekadar yang wajib sahaja.

Lebih pendek adalah lebih baik. Kerajaan Pusat berikrar akan memulihkan

kembali pemerintahan demokrasi seberapa segera yang boleh. Sebagaimana
kita semua sedia maklum bahawa parti PAS yang mempunyai anggota di Dewan
Undangan yang lebih ramai akan tetap memegang teraju pemerintahan
negeri itu semula dan bukanlah UMNO.

Malang sekali tujuan baik Kerajaan Pusat dan rang Undang-undang yang

telah mendapat persetujuan daripada Parlimen itu telah sengaja disalah
faham dan disalahtafsirkan oleh pucuk pimpinan PAS. Semua wakil rakyat
PAS, telah menyokong rang undang-undang penubuhan kerajaan Darurat di
Kelantan itu.

Biarlah saya bersalah dalam tindakan saya mengadakan undang-undang itu.

Tetapi saya tidak sanggup memikul dosa yang lebih besar dengan
membiarkan berlakunya pertumpahan darah, pengorbanan nyawa, kecederaan
dan kemusnahan harta benda. Sebagai Perdana Menteri saya tidak boleh
memandang ringan perkara ini. Saya berkewajipan penuh melindungi nyawa
rakyat.

Tindakan saya ini telah disambut baik dan disokong oleh sebahagian besar

penduduk dan rakyat Kelantan sendiri. Saya tidak faham kenapa pucuk
pimpinan PAS tidak mahu menyokongnya. Saya tahu tidak semua ahli PAS
bersetuju dengan tindak tanduk pucuk pimpinannya. Sebenarnya UMNO juga
memerlukan kerjasama PAS dan tidak sekali-kali meragukan penyertaan PAS
tetapi yang kita sangsikan ialah sikap dan pendirian pucuk pimpinannya.

Perbuatan pucuk pimpinan PAS menentang arahan parti anggota Barisan

Nasional sama ada di dalam atau pun diluar dewan ini dimasa akan datang.
Jika semangat kerjasama dan saling mengerti ini luntur dan disiplin
parti diketepikan, akibatnya Barisan Nasional akan hancur. Kita semua
tahu bahawa disiplin merupakan rahsia perpaduan dan kekuatan Barisan
Nasional selama ini.

Disiplin adalah paling mustahak dalam penghidupan manusia dan hendaklah

diutamakan. Mengenakan disiplin di atas diri sendiri pun merupakan
perkara penting, apatah lagi masyarakat atau pertubuhan seperti
parti-parti politik.

Satu daripada sebab-sebab kejayaan UMNO selama selama ini ialah kerana

ahli-ahlinya mematuhi disiplin parti serta menghormati dan menjunjung
tinggi peraturan yang ditetapkan. Parti-parti yang ahlinya tidak patuh
kepada disiplin akan membawa kehancuran kepada parti itu sendiri.

Soal mengenai siapa yang bersalah sehingga mengakibatkan tercetusnya

kejadian buruk di Kelantan itu tidaklah berfaedah dibangkitkan. Tetapi
perkara yang paling penting dan yang patut diutamakan ialah melindungi
nyawa rakyat terlebih dahulu. Sebagai Perdana Menteri, saya mengetahui
dengan sedalam-dalamnya masalah keselamatan dalam negeri. Saya mesti
bertindak sewajarnya mengikut keadaan.

Saya telah pun menerangkan bahawa saya tidak menyebelahi mana-mana pihak

yang terlibat dalam peristiwa Kelantan itu. Saya jalankan segala
tindakan yang perlu bagi mengawal dan mententeramkan keadaan di atas
sifat saya sebagai Perdana Menteri.

Yang bertanggungjawab di atas kepentingan, keselamatan dan kebajikan

rakyat, bukan sahaja di Kelantan bahkan di seluruh tanah air kita.
Inilah amanah yang telah bertanggungjawab oleh rakyat kepada saya. Saya
tidak faham mengapa pucuk pimpinan PAS tidak tidak memahami hakikat ini.
Soal keselamatan adalah satu perkara yang tidak boleh dijadikan tawar
menawar.

Di bawah kuasa-kuasa darurat, Pengarah Kerajaan negeri Kelantan adalah

bertanggungjawab kepada saya sebagai Perdana Menteri. Saya pula
bertanggungjawab kepada Jamaah Menteri di mana menteri-menteri dari PAS
menganggotainya.

Saya akan memberi penjelasan kepada Jemaah Menteri dimana

menteri-menteri dari PAS menganggotainya. Saya akan memberi penjelasan
kepada Jemaah Menteri dari masa ke semasa mengenai perkembangan dan
kemajuan di negeri Kelantan masa itu menteri-menteri dari PAS boleh
membangkitkan sebarang kemusykilan mengenainya. Sebaliknya mereka telah
mengambil tindakan meletakkan jawatan beramai-ramai dari menyertai
kerajaan.

Dalam masa kita sedang mencari-cari jalan keluar yang sebaik-baiknya

bagi mengatasi keadaan buruk yang tercetus di Kelantan itu, tiba-tiba
pucuk pimpinan PAS menimbulkan lagi berbagai masalah lain dengan
mengemukakan undi tidak percaya kepada beberapa orang Menteri Besar yang
terdiri draipada ahli-ahli UMNO.

Di antara yang yang paling baru ialah di negeri Kedah. Menteri-menteri

Besar boleh ditukar ganti tetapi apa yang meragukan ialah tentang sejauh
mana keikhlasan pucuk pimpinan PAS melakukan perbuatan-perbuatan ini
dengan tidak mahu berunding terlebih dahulu dengan kita.

Dimanakah letaknya semangat kerjasama pucuk pimpinan PAS dalam Barisan

Nasional? Apakah salahnya jika perkara ini dirundingkan dengan kita
terlebih dahulu? Jika kita sanggup merundingkan terlebih dahulu mengenai
hal-hal negeri Kelantan dengan pucuk pimpinan PAS, mengapakah pucuk
pimpinan PAS mahu membelakangkan kita mengenai hal di negeri-negeri yang
lain?

Sungguh sukar sekali bagi kita hendak memahami tindak-tanduk pucuk

pimpinan PAS ini. Setelah menimbulkan gejala-gejala ini, pucuk pimpinan
PAS melahirkan hasrat hendak terus kekal dalam Barisan Nasional. Kita
sungguh tidak faham dengan sikap dan pendirian pucuk pimpinan PAS ini.

Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah yang akan datang pada 17

Disember ini sudah pasti akan menimbulkan perbalahan yang hebat.
Tidakkah pucuk pimpinan PAS sedar atas perkara ini?

Apakah tujuan pucuk pimpinan PAS membuat demikian? Bukankah ini semuanya

merupakan gejala-gejala yang sengaja ditimbulkan dengan niat hendak
memecah-belahkan Barisan Nasional? Di negeri Johor pula, pucuk pimpinan
PAS di sana telah memberi amaran yang merupakan kata dua bahawa
calon-calon PAS akan bertanding dalam semua kawasan pilihan raya
menentang Barisan Nasional.

Dalam pilihan raya tahun 1974, UMNO sebenarnya menghadapi kesulitan

kerana terpaksa bertolak ansur dengan memberikan beberapa kerusi baru
dan kerusi-kerusi tambahan kepada PAS. UMNO terpaksa berbuat demikian
semata-mata dengan tujuan hendak mewujud dan mengekalkan semangat
kerjasama UMNO dengan PAS demi kepentingan dan faedah rakyat.

Pucuk pimpinan PAS telah juga memberi amaran bahawa kononnya lima buah

negeri di Semenanjung Malaysia akan menerima nasib seperti di Pulau
Pinang.

Agaknya mereka merujuk kepada peristiwa pilihan raya tahun 1969 dahulu

jika sekiranya PAS meninggalkan atau dikeluarkan daripada Barisan
Nasional. Ugutan dan ancaman seperti ini merupakan satu provokasi yang
merbahaya. UMNO mempunyai maruahnya sendiri.

Kita sering kali juga mendengar desakan supaya pucuk pimpinan PAS

mengkaji semula kedudukan PAS dalam Barisan Nasional, Perkara ini telah
dibangkitkan dalam tiap-tiap Perhimpunan Agung PAS selama tiga tahun
berturut-turut setelah PAS menyertai gabungan besar ini.

Penubuhan ranting-ranting PAS dalam kawasan-kawasan UMNO juga

menimbulkan kecurigaan dan boleh membangkitkan salah faham di kalangan
rakyat. Banyak lagi perbuatan dan tindakan pucuk pimpinan PAS yang
meragukan.

Kita sentiasa berusaha dengan bersungguh-sungguh memelihara perpaduan

Barisan Nasional. Tetapi bagaimanakah perpaduan dapat dikekalkan jika
ada pihak-pihak yang tidak mahu mengikuti peraturan dan tidak mahu
mematuhi keputusan yang dipersetujui oleh ramai. Perpaduan yang hanya
ada pada nama sahaja tidak membawa erti apa-apa tidak berfaedah.

Walaupun Barisan Nasional terpaksa berpecah, tetapi ini tidak bererti

pembangunan akan terjejas dan terhenti. Pembangunan tetap akan berjalan
terus. Pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) mesti dijayakan dengan
sepenuh-penuhnya. Inilah janji saya kepada rakyat sekalian.

Berikutan dengan berlakunya kejadian-kejadian ini, saya telah mengadakan

sidang tergempar Dewan Tertinggi Barisan Nasional pada Disember 1977,
Fasal 14, Perlembagaan Barisan Nasional membolehkan dengan suara
majoriti memecat parti-parti ahli yang bergabung yang didapati melanggar
disiplin. Tetapi Barisan Nasional sekali-kali tidak berniat hendak
menggunakan Fasal tersebut bagi memecat PAS.

Barisan Nasional masih lagi, jika boleh, berkehendakkan PAS tinggal

kekal dalam Barisan Nasional. Sungguhpun demikian, disiplin parti mesti
dipelihara dan dipatuhi kalau kita mahu melihat Barisan Nasional hidup
berpanjangan. Oleh itu satu usul yang merupakan suatu tolak ansur
sebagai jalan keluar yang sebaik-baiknya bagi meyelesaikan masalah ini
telah dikemukakan dalam Dewan Tertinggi Barisan Nasional itu.

Tolak ansur ini merupakan usul yang berkehendakkan supaya parti-parti

anggota yang ahli-ahlinya didapati menentang arahan parti whip mengenai
sesuatu masalah yang dibentangkan di dalam dewan rakyat, dewan negara
atau dewan negeri hendaklah mengambil tindakan disiplin terhadapnya
dengan memecat mereka itu daripada parti masing-masing.

Apabila semangat kerjasama yang tulus ikhlas itu luput dan disiplin

parti telah diketepikan, Barisan Nasional sudah tentu akan pecah dan
musnah. Jika ini berlaku tentulah tidak berguna lagi. Eloklah kekusutan
yang berlaku ini diselesaikan sekarang juga kerana jika dibiarkan
berlanjutan akan merugikan parti dan rakyat.

Daripada sebelas parti anggota dalam Barisan Nasional, sembilan telah

menyokong, PPP berkecuali dan PAS menentang usul itu. Keputusan suara
terbanyak ini telah dimaklumkan dengan secara rasmi kepada pucuk
pimpinan PAS.

Memandangkan betapa pentingnya masalah yang kita hadapi, saya telah

mengadakan mesyuarat khas majlis Tertinggi UMNO malam tadi. Majlis
tertinggi UMNO telah membincangkan dengan teliti segala akibatnya
terutama sekali tentang sikap pucuk pimpinan PAS yang ada sekarang, yang
terang-terang menggugat perpaduan Barisan Nasional khususnya dan
perpaduan orang Melayu amnya. Kami berpendapat bahawa haruslah
diwujudkan kesungguhan dan keikhlasan bagi memperkukuhkan Barisan
Nasional.

memandangkan kepada perbuatan, sikap dan pendirian pucuk pimpinan PAS

selama ini, UMNO berpendapat kerjasama yang erat tidak mungkin dapat
terus wujud di antara UMNO dengan PAS dalam Barisan Nasional.

Oleh yang demikian, bagi mengelakkan pertelingkahan ini berpanjangan,

yang akhirnya akan membawa perpecahan kepada Barisan Nasional, Majlis
Tertinggi UMNO telah dengan perasaan amat dukacita mengambil pendirian,
jika pucuk pimpinan PAS tidak mematuhi dan mengambil tindakan
sebagaimana yang dikehendaki di dalam Mesyuarat Dewan Tertingginya pada 5
Disember yang lalu, UMNO akan meminta diadakan mesyuarat khas Dewan
Tertinggi Barisan Nasional supaya dipersetujui resolusi memecat PAS
daripada Barisan Nasional.

Pagi ini saya telah menyampaikan pendirian UMNO itu kepada ketua-ketua

parti anggota Barisan Nasional. Ketua-ketua parti anggota Barisan
Nasional dalam perjumpaannya pagi ini telah bersetuju supaya mesyuarat
khas Dewan Tertinggi Barisan Nasional diadakan pada 13 Disember yang
akan datang ini.

Inilah tujuan kami mengadakan perjumpaan dengan ketua-ketua bahagian

UMNO petang ini bagi menjelaskan pendirian yang telah diambil oleh
Majlis Tertinggi UMNO itu.

UMNO sudah membuat keputusan dan menentukan pendiriannya. Keputusan dan

pendirian itu adalah dibuat dengan hati yang suci, demi kepentingan
Barisan Nasional dan negara. Saya yakin dengan kesucian hati kita itu,
Allah akan memberkati perjuangan kita.

Saya merayu kepada semua ahli UMNO supaya bertenang dan terus

menjalankan tanggungjawab kita dengan lebih berhati-hati lagi, lebih
bersungguh-sungguh lagi dan lebih berdedikasi lagi. Masa hadapan Barisan
Nasional penuh dengan cabaran. Kita akan menghadapinya dengan meminta
petunjuk dan keredhaan Allah.

Dengan ini maka kita menyerahkan diri kita sepenuhnya kepada Allah."


TUN HUSSEIN ONN.


PERDANA MENTERI MALAYSIA


19 DISEMBER 1977

TC : PENIPU RUPA NYA PAS NI.... PASNGOK...

0 comments:

Post a Comment

SEKALUNG TAHNIAH SAHABAT YANG BERJUANG BERSAMA TC