"Segalanya kerajaan tanggung, termasuk penginapan dan makan minum mereka di Jeddah. Kepada suara-suara sumbang, kita di sini bukan untuk mengaut keuntungan politik tetapi demi keselamatan rakyat kita.''
Demikian tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berhubung tindakan sesetengah pihak menyebar berita palsu menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) berhubung usaha kerajaan membawa keluar rakyat Malaysia dari Mesir ke Jeddah.
Berita palsu itu antara lain menyebut: "Jangan naik pesawat ke Jeddah, sebab dari Jeddah nak balik ke Malaysia kamu kena tanggung sendiri tambangnya.''
Jamil Khir menerangkan, segala kos membabitkan penerbangan membawa keluar rakyat Malaysia diusahakan kerajaan atas ihsan Malaysia Airlines (MAS), AirAsia dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
"Oleh itu, tidak timbul soal kita meminta bayaran itu ini. Di Jeddah, Arab Saudi pula, mereka ini ditempatkan di Madinatul Hujjaj iaitu pusat penginapan Tabung Haji.
"Tabung Haji sendiri menjalankan tanggungjawab sosial korporatnya dengan menyediakan penginapan serta makan minum sebelum mereka yang dipindahkan dibawa pulang ke tanah air. Itu pun, tambang untuk pulang ke Malaysia sedang kita aturkan.
"Jadi, tidak timbul soal kita mengenakan bayaran. Janganlah dengar berita daripada sumber-sumber yang tidak sah. Hubungi kami sendiri untuk kepastian,'' katanya ketika dihubungi di Kaherah hari ini.
Beliau mengulas mengenai fitnah yang disebarkan pihak bertanggungjawab menerusi SMS yang menyebabkan ada rakyat Malaysia khususnya pelajar yang enggan keluar dari Mesir kerana tidak mempunyai wang untuk pulang ke tanah air melalui Jeddah.
Jelas beliau, mengenai penginapan di Jeddah, ahli keluarga di tanah air tidak perlu risau kerana Tabung Haji memiliki pengalaman luas dalam menguruskan urusan berkenaan.
Mengenai kelewatan menerbangkan rakyat Malaysia dari Mesir ke Jeddah, Jamil Khir berkata, situasi di negara itu ketika ini cukup kritikal dan menyukarkan mana-mana syarikat penerbangan mendarat di Mesir.
"Hendak mendapatkan hak mendarat pun sukar. Begitu juga hak mendarat di Jeddah. Ada lebih 11,000 pelajar kita di Mesir. Jadi bayangkan berapa banyak pesawat hendak digunakan untuk membawa mereka keluar?
"Kita bawa mereka ini ke Jeddah dahulu dan mereka telah pun diberikan visa waktu ketibaan (VOA). Oleh itu, jangan risau. Kerajaan sedang usahakan yang terbaik untuk rakyat kita di Mesir,'' tambahnya.
Sehingga kini, katanya, terdapat lebih 700 pelajar diterbangkan ke Jeddah dan menunggu penerbangan pulang ke tanah air.
Sementara itu, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Shahlan Ismail juga melahirkan rasa kesal terhadap tindakan tidak bertanggungjawab sesetengah pihak yang mula menabur fitnah dan berita palsu terhadap apa yang diusahakan kerajaan di Mesir.
Tegas beliau, segala usaha membawa keluar rakyat Malaysia berjalan dengan baik tanpa ada sebarang masalah.
''Saya minta, jangan mempolitikkan isu ini dan jangan sebar cerita mengarut,'' tambahnya yang masih berada di Kaherah.
TC: KERAJAAN BN MEMANG PRIHATIN... ADA PAHAM PAKATAN RONGGENG....
0 comments:
Post a Comment