IPOH: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk R Ganesan semalam membuat laporan polis meminta siasatan dijalankan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tronoh, V Sivakumar kerana menyamar sebagai Speaker.
Ganesan berkata, tindakan Sivakumar menggunakan kepala surat rasmi Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Perak bagi menghantar notis persidangan DUN pada 30 Mac ini satu bentuk jenayah penyamaran.
Beliau berkata, Sivakumar sudah dilucutkan jawatan sebagai Speaker pada 7 Mei 2009 melalui ketetapan DUN dan keputusan itu juga disahkan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh sebagai satu prosiding Dewan. “Mahkamah Tinggi Ipoh pada 8 September 2009 memutuskan pelucutan jawatan Sivakumar sebagai Yang Dipertua Dewan Negeri adalah sah dan mengesahkan pelantikan saya sebagai Tuan Yang Dipertua Dewan Negeri Perak baru,” katanya selepas membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah Ipoh tengah hari semalam.
Surat dua muka surat bertarikh 8 Mac yang ditandatangani Sivakumar sebagai Speaker menyebut semua Adun diminta hadir ke Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga Dewan Negeri Ke-12, bermula 30 Mac ini di Dewan Mesyuarat, Bangunan Perak Darul Ridzuan.
Surat itu turut meminta semua Adun mengemukakan soalan lisan dan bertulis, usul serta ucapan penangguhan (jika ada) kepada pejabat Sivakumar selewat-lewatnya pada 15 Mac lalu melalui surat, faks atau e-mel kepada duntronoh@gmail.com.
Ganesan berkata, tindakan Sivakumar menyamar sebagai Speakar itu juga satu tindakan menghina mahkamah.
“Saya membuat laporan ini demi menjaga integriti Dewan Undangan Negeri yang mulia di mana satu tindakan perlu diambil terhadap Ahli Yang Berhormat yang bertindak di luar batasan undang-undang negara dengan bertindak sesuka hati menyamar sebagai Tuan Yang Dipertua dan menghina keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh.
“Ini kesalahan besar menggunakan kepala surat tanpa kebenaran dan paling penting surat dihantar tidak mendapat perkenan daripada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, sedangkan surat yang dibuat oleh saya merangkumi itu semua,” katanya.
0 comments:
Post a Comment