Malah, anak sulungnya, wanita berusia awal 30-an, dipercayai bersekedudukan dengan teman lelaki hingga melahirkan seorang anak berusia dua tahun manakala anak keempatnya, juga wanita berusia awal 20-an, melarikan diri dari rumah itu selepas mengandung anak luar nikah.
Difahamkan, janda beranak empat yang juga ahli perniagaan itu tidak mempedulikan teguran anak lelakinya.
Dua anak lelakinya, iaitu anak kedua dan ketiga yang sudah berkahwin serta tinggal bersamanya, hanya mampu menasihatkan ibu, kakak serta adik perempuan mereka.
Seorang kenalan keluarga berkenaan yang mahu dikenali sebagai Azimah, 40-an, berkata, perbuatan itu diketahuinya sejak beberapa tahun lalu.
"Saya tidak berniat mencampuri urusan keluarga mereka, tetapi sebagai umat Islam, saya tidak mahu bersubahat selepas mengetahui perkara sebenar.
"Apa yang saya tahu, baru-baru ini wanita berkenaan menjalin hubungan dengan seorang lelaki berusia awal 30-an yang juga pekerjanya sendiri," katanya.
Azimah mendakwa, anak sulung dan anak bongsu keluarga terbabit (kedua-duanya wanita) mencontohi kelakuan ibu mereka kerana turut berkelakuan sedemikian.
"Bagaimanapun, dua anak lelakinya tidak merestui perbuatan itu dan mereka berkahwin secara sah.
"Saya juga difahamkan anak lelaki terbabit serta isteri masing-masing beberapa kali menegur ibu mereka, namun tidak diendahkan, malah diingatkan supaya jangan menderhaka," katanya.
Menurut Azimah, dia melaporkan perkara itu kepada Jabatan Agama Islam Johor (JAJ) baru-baru ini.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Johor (JAJ) Zamri Kambari berkata, pihaknya sudah menerima laporan berhubung keluarga berkenaan dan kini mengumpul bukti.
Menurutnya, risikan perlu dijalankan, termasuk waktu wanita terbabit membawa pulang pasangannya ke rumah serta mengumpul bukti lanjut sebelum serbuan.
Beliau bagaimanapun berkata, sebagai ibu, wanita terbabit seharusnya menjadi contoh baik kepada anak.
Perjuanganku Lebih Mudah Kerana Mengusir Penjajah, Tetapi Perjuanganmu Lebih Sulit Kerana Melawan Bangsamu Sendiri
0 comments:
Post a Comment