Saturday, July 2, 2011

FAKTA.. Demontrasi BERSIH Haram Dalam Islam

TC: Terima kasih pada pengirim email yang telah mengirimkan satu info yang sangat baik..

Manusia sentiasa merasakan tidak cukup dengan apa yang dia ada. Tidak bersyukur dengan apa yang dia miliki selama ini. Sebab itu tatkala manusia hampir mati akan diuji dengan dunia. Diriwayatkan bahawa anak Adam diuji dengan nikmat dunia. Kelak Allah SWT akan beri anak Adam dua lembah emas, lalu Allah SWT bertanya kepada anak Adam, ada apa lagi yang kamu mahu, dia akan minta ditambahkan satu lembah lagi daripada emas supaya jadi tiga lembah emas. Walaupun anak Adam itu tahu emas tadi tidak bermanfaat untuknya tapi dia tetap mahu lembah emas yang ditawarkan, malah diminta tambah, sedang mulutnya akan dipenuhi tanah dari kubur.

Sabda Baginda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sekiranya anak Adam itu memiliki satu lembah emas nescaya dia akan sangat menginginkan dua lembah emas, sedangkan kelak mulut anak Adam akan dipenuh dengan tanah, lalu Allah SWT memberi keampunan kepada sesiapa yang dikehendakinya. (al-Bukhari, no: 6439)

Suatu hari Rasulullah SAW menjumpai sekumpulan sahabat yang sedang duduk di pinggir jalan. Baginda kemudian bersabda: "Jauhilah olehmu duduk-duduk di pinggir jalan." Sahabat menjawab: "Wahai Rasulullah kami tidak mendapat jalan lain untuk tempat kami berbincang."

Sabda Baginda SAW: "Jika kalian enggan meninggalkannya, maka berikanlah hak jalan." Mereka bertanya: "Apakah yang menjadi hak jalan itu?" Jawab Baginda SAW: "Hak jalan itu ialah menundukkan pandangan (mencegah daripada memandang yang haram), mencegah gangguan, menjawab salam, amar makruf dan nahi mungkar. (riwayat Bukhari dan Muslim)."

Daripada hadis di atas serta beberapa hadis Rasulullah SAW yang lain, dapat kita peroleh pengajaran bahawa sesungguhnya duduk-duduk ditepi jalan itu tidak baik. Sebagaimana yang kerap kita lihat setiap hari dewasa ini. Orang yang duduk-duduk di tepi jalan sangat cenderung untuk mengganggu orang lain. Biasanya, wanita-wanita menjadi sasaran mereka untuk diganggu, bermula dengan gangguan mental dan seterusnya melarat kepada gangguan fizikal.

Cuba sama-sama kita fahami petunjuk Nabi SAW dalam hadis di atas. Pertamanya baginda SAW menegah para sahabat daripada duduk-duduk di tepi jalan atas alasan ia mengganggu pengguna jalan yang lain. Sahabat menjelaskan bahawa mereka tiada pilihan melainkan duduk-duduk tepi jalan, yang demikian adalah tabiat kebiasaan mereka.

Jadi, baginda Rasulullah SAW memberi panduan kalau mereka tetap mahu duduk maka hendaklah memelihara beberapa perkara secara wajib. Antaranya, menundukkan pandangan, kerana pandangan yang tidak terkawal mungkin mengundang kepada maksiat.

Kebiasaannya orang ramai yang lalu juga tidak selesa bila ada orang memerhatikan mereka. Baginda turut mengingatkan agar tidak melakukan gangguan terhadap pejalan kaki atau sesiapa yang menggunakan jalan tersebut.

Di antara adab yang perlu dijaga ketika duduk ditepi jalan ialah memberi salam. Tanggungjawab lain yang tidak boleh diabaikan ialah melakukan amar makruf nahi mungkar. Iaitu menyuruh orang melakukan kebaikan dan mencegah orang daripada melakukan kemungkaran.

Maksudnya, laluan atau jalan adalah hak orang ramai maka mencerobohnya adalah salah dan tidak beretika dalam Islam. Betapa rahmatnya ajaran agama yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Justeru, berdemonstrasi jalanan yang pastinya menganggu orang ramai adalah ditegah dalam agama Islam.

Pelbagai alasan dan justifikasi yang dicipta oleh manusia jelas tidak ada kebaikannya pada negara. Sebagai seorang warga negara di negara yang berdaulat merasakan tindakan sesetengah pihak yang merancang mengadakan demonstrasi jalanan adalah di luar kewarasan kemanusiaan.

Manakala dalam kitab-kitab fiqh al-siasah menjelaskan bahawa mewujudkan suasana yang tidak stabil dalam sebuah negara yang aman damai adalah haram. Sengaja mewujudkan suasana porak peranda seterusnya mengundang kepada mudarat pada orang awam hukumnya haram.

Mungkin ada yang memberi alasan bahawa menjaga dan mengawal demonstrasi adalah kerja polis. Benar menjaga dan mengawal perarakan adalah kerja polis namun demikian ada banyak kemungkinan-kemungkinan yang lain, seperti kewujudan provokasi daripada segelintir yang hadir yang sengaja mengambil kesempatan untuk merosakkan harta awam dan harta orang lain. Bila sudah ramai bukan senang untuk dikawal.

Contoh, kalau ada seseorang tercedera kerana sesuatu sebab yang tidak dapat dielakkan akan menjadi punca kepada rusuhan. Secara tidak langsung seolah-olah demonstrasi ini menjadi medan untuk kumpulan tertentu melepaskan geram di jalanan. Percayalah demonstrasi sebegini banyak mudarat daripada kebaikan. Mafasidnya (kerosakan) lebih besar daripada masoleh (kebaikan).

Firman Allah SWT bermaksud: ...Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kemusnahan, dan hendaklah kamu melakukan kebaikan, sesungguhnya Allah mencintai orang yang berbuat ihsan. (al-Baqarah: 195)

Dalam ayat ini Allah SWT mengingatkan orang yang beriman agar tidak mencampakkan diri mereka dalam sebarang kemudaratan. Dalam erti kata yang lain, jangan dibeli kemudaratan.

Daripada Abu Said bin Sanan al-Khudri daripada Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tidak mudarat dan tidak memudaratkan." (riwayat Malik, Ibn Majah).

Secara dasarnya orang Islam tidak boleh mengundang kemudaratan, sama ada ke atas diri sendiri mahupun ke atas orang lain. Melalui ayat dan hadis Rasulullah SAW, umat Islam ditegah daripada mengundang kemudaratan.

Kita semua sedia maklum demonstrasi-demonstrasi yang dianjurkan akan meletakkan negara pada kedudukan yang tidak stabil. Tidak ada pihak yang untung malahan akan bercakaran dan bermusuhan.

Ayuh ke meja perundingan dan perdamaian. Itulah jalan yang terbaik bagi umat Malaysia.


Sent by DiGi from my BlackBerry® Smartphone

1 comments:

  1. Habat berkata-kata. siap guna hujah dr ayat al-quran. Saya kagum dgn anda. kerana ayat2 yg digunakan mampu membuatkan org2 yg baca utusan dan tgk berita utama percaya terus tanpa selidik. Tapi, walau mcm mana sekalipun saya mohon supaya apa yg anda nak post diselidik dahulu dr pelbagai sumber.Kami sayangkan negara kami.Bersih adalah cara nak tegur SPR dan kementerian.kalau la pemimpin sekarang sama dgn pemimpin zaman rasulullah dulu, boleh la ditegur secara berdepan. Apa yg salah, perlu ditegur.x kan nak redha je kot? Kalau tgk bersih, yg bangun tu adalah golongan yg ditindas.yang mendapat kebaikan dr bn dan merasakan malaysia ini cukup aman, mmg x rasa apa2.tp diorang x tau sebenarnya dalaman negara kita dh corrupted. x nk ckp banyak. Selidik dan fikir. Elakkan fitnah. Setiap kata2 akan diuji...

    ReplyDelete

SEKALUNG TAHNIAH SAHABAT YANG BERJUANG BERSAMA TC