Wednesday, July 13, 2011

MAJLIS TILAWAH AL-QURAN PERINGKAT ANTARABANGSA KALI KE-53 TAHUN 1432H/2011M

Sukacita Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ingin memaklumkan mengenai penganjuran Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa Kali Ke-53 Tahun 1432H/2011M yang akan diadakan pada 16 hingga 23 Julai 2011 bersamaan 14 hingga 21 Syaaban 1432H bertempat di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Penganjuran Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa secara tahunan oleh Kerajaan Malaysia ini menggambarkan komitmen pihak Kerajaan selaku tuan rumah dalam menerapkan budaya minat terhadap Al-Quran serta memahami intipatinya dalam mengaplikasikan tuntutan dan larangan Yang Maha Esa menerusi amalan kehidupan kita seharian disamping bertujuan untuk merapat dan mengeratkan lagi tali persaudaraan Negara-negara Islam di dunia.

Majlis yang berprestij ini bakal berlangsung selama lapan hari bermula 16 hingga 23 Julai 2011 dan sehingga kini penganjur mengesahkan menerima seramai 81 orang peserta yang diwakili oleh 50 orang Qari dan 31 orang Qariah dari 50 buah negara. Malaysia akan diwakili oleh Johan Qari dan Qariah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan kali ke-54 baru-baru ini iaitu Encik Amirahman bin Abas dari Negeri Sembilan dan Puan Hajjah Suraya binti Abu Hassan dari negeri Johor.

Johan tilawah akan dianugerahkan sebuah piala iringan, wang tunai sebanyak RM32,200 beserta cenderamata dan Sijil Penyertaan, Naib Johan Qari dan Qariah akan menerima wang tunai berjumlah RM22,400, cenderamata dan sijil penyertaan. Bagi tempat ketiga pula Qari dan Qariah akan menerima wang tunai sebanyak RM 13,600.00, cenderamata dan juga sijil penyertaan. Selain itu, hadiah sagu hati kepada setiap penyertaan adalah berupa wang tunai berjumlah RM 4,800.00, cenderamata dan sijil penyertaan kepada semua peserta.

Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa ini akan dirasmikan pembukaannya oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah dan turut berkenan berangkat ke majlis adalah Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah pada 16 Julai 2011 jam 8.45 malam.

Manakala bagi Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah kepada para pemenang akan disampaikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Alhaj Abdul Halim Mua'dzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah Sultan Negeri Kedah Darul Aman; Timbalan Yang di-Pertuan Agong pada 23 Julai 2011 waktu yang sama.

Turut hadir dalam majlis perasmian dan penutupan tersebut adalah Y.A.B. Dato' Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak; Perdana Menteri Malaysia bersama isteri, Tan Sri Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin; Y.A.B Timbalan Perdana Menteri dan isteri serta Y.B. Senator Mejar Jen. Dato' Seri Haji Jamil Khir bin Haji Baharom (B), Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan isteri.

Pelbagai acara selingan diatur bagi memeriahkan lagi Majlis Tilawah kali ini antaranya persembahan artis nasyid tanahair Hafiz Hamidun serta kumpulan kumpulan nasyid tanahair seperti Far-East dan Devotees. Turut membuat persembahan adalah kumpulan Qasidah dari Sarawak, Kumpulan Nasyid DG-WA dan Darul Quran Jakim, persembahan Johan kumpulan nasyid peringkat negeri Sabah, persembahan nazam dari ASWARA serta persembahan menarik dari program realiti ADIK-ADIKKU.

Tema Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa pada kali ini ialah "Persefahaman Asas Perpaduan Ummah". Dalam situasi masyarakat yang semakin alpa dengan tanggungjawab yang telah diamanahkan, maka adalah menjadi kewajipan kita sesama muslim saling mengingati dan mempereratkan lagi hubungan agar setiap ancaman dan tomahan dapat kita atasi bersama. Jaringan yang mantap akan menghasilkan semangat persaudaraan yang unggul seterusnya memperkasakan ikatan perpaduan ummah yang disegani di mata dunia. Kelestarian semangat ini dalam amalan kita seharian akan menjadi perisai dari sebarang godaan atau hasutan yang cuba mengugat kestabilan dan keharmonian negara kita yang tercinta.

Sehubungan itu, orang ramai adalah dijemput hadir ke majlis ini mulai 16 hingga 23 Julai 2011, dari jam 8.30 hingga 11.00 malam mengikuti dan mendengar serta melihat sendiri bagaimana Qari dan Qariah dari Negara Islam seluruh dunia memperdengarkan bacaan masing-masing mengikut gaya dan alunan suara dalam membacakan ayat-ayat suci al-Quran.


Sent by DiGi from my BlackBerry® Smartphone

0 comments:

Post a Comment

SEKALUNG TAHNIAH SAHABAT YANG BERJUANG BERSAMA TC