Friday, July 1, 2011

Nik Aziz 'larikan diri', tidak restu Bersih?

Nik Abdul Aziz Nik Mat dikatakan tidak merestui perhimpunan haram Bersih kerana telah 'melarikan diri' keluar negara ketika pemimpin pembangkang sedang bersiap sedia untuk menempuh 9 Julai ini.

Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Anuar Safian berkata, sekiranya Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas menyokong perhimpunan tersebut, ia bermakna beliau menafikan haknya serta Pas untuk memerintah negeri ini.

Beliau berkata, perhimpunan tersebut merupakan satu program yang amat besar kepada pembangkang dan cuba menarik penglibatan ratusan ribu rakyat di negara ini.

"Saya nampak Nik Abdul Aziz cuba untuk melarikan diri daripada terlibat dengan Bersih, dia tidak setuju dengan Bersih, kalau dia setuju dia menafikan hak untuk memerintah Kelantan kerana Pas dipilih melalui pilihan raya.

"Kelantan diperintah oleh Pas selama 20 tahun, kalau Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak telus, kita tidak akan biar Pas memerintah selama 20 tahun kerana kita mampu boleh beri lebih baik kepada rakyat Kelantan. Tetapi disebabkan SPR telus kita menerima keputusan pilihan raya ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Nik Abdul Aziz bersama isteri, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak telah berlepas ke Uzbekistan dan mengerjakan umrah di Mekah, Selasa lalu. Turut serta Exco Kerajaan Pas Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah.

Difahamkan Nik Abdul Aziz akan berada di luar negara selama dua minggu dan tugasnya dilakukan timbalannya, Datuk Ahmad Yaacob.

Terdahulu, kira-kira 100 pemuda yang berpakaian serba merah mengadakan perhimpunan secara aman di hadapan ibu pejabat Pas Kelantan di sini kira-kira pukul 3 petang ini bagi mendesak Pas tidak terlibat dengan perhimpunan haram Bersih pada 9 Julai ini.

Mereka berkumpul selama 30 minit dengan membawa bendera 'patriot' dan sepanduk yang di antaranya tertulis: 'Tok Guru gi buat umrah sebab tak sir terlibat dengan Bersih, takkan puak-puak Pas tak sedar lagi', 'Pas jadi kuda tunggangan DAP dan Anwar Ibrahim' dan 'Perhimpunan Bersih yang kotor'.

Sementara itu, Anuar berkata, perhimpunan secara aman 'patriot' dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diadakan bagi mendesak Pas supaya tidak melibatkan diri dengan Bersih kerana ia jelas mengganggu ketenteraman awam.

"Pas harus sedar siapa Ambiga Sreenevasan, seorang pejuang untuk kesamarataan agama malah dalam kes Lina Joy, beliau yang mempertahankan kebebasan agama. Apakah perjuangan Ambiga selaras dengan perjuangan Pas," katanya.


Sent by DiGi from my BlackBerry® Smartphone

0 comments:

Post a Comment

SEKALUNG TAHNIAH SAHABAT YANG BERJUANG BERSAMA TC